Monday, 28 October 2013

Tragedi menyayat hati: Pegawai Ambank Ditembak Mati Pengawal Keselamatan



            Lebih kurang seminggu lepas, telah berlaku satu tragedi yang sangat tragis dan menyayat hati iaitu kes kematian seorang pegawai Ambank, Norazita Abu Talib akibat  ditembak mati oleh  pengawal keselamatan yang bertugas di situ. Sebak hati saya apabila membaca rentetan peristiwa tersebut melalui media.

            Setelah disiasat, kebenaran yang diperoleh ialah suspek sebenarnya bukanlah warganegara yang berasal dari Sabah, tetapi suspek berasal dari negara jiran, Indonesia. Dia menggunakan kad pengenalan palsu yang beralamat di Sabah. Saya berpendapat, suspek tidak dicurigai sepanjang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Ambank kerana pertuturan Indonesianya boleh diubah menjadi pertuturan dialek Sabah. Tambahan pula, masyarakat semenanjung tidak begitu arif perihal pertuturan masyarakat Sabah. Oleh itu, tiada sesiapapun mencurigainya selama ini.

Wajah suspek yang dirakam oleh kamera CCTV
            Suspek menggunakan nama Ardi Hamza dan berusia 37 tahun. Pada waktu kejadian, lebih kurang pada pukul 6.18 petang, mangsa bersama suspek serta empat lagi pegawai bank berada di dalam bilik kebal dipercayai mahu menyimpan sejumlah wang. Suspek yang bersenjatakan ‘pump gun’ itu telah melepaskan tembakan dan mengenai kepala mangsa dan kemudiannya telah melarikan diri bersama sejumlah wang dengan menunggang motosikal. Mangsa mati di tempat kejadian akibat pendarahan yang teruk di kepala. Hasil siasatan polis mendapati suspek telah melarikan wang tunai sejumlah RM 450,000.

            Setelah disiasat, terdapat tiga orang yang bersubahat dengan suspek iaitu dua orang pengawal keselamatan dan seorang wanita. Dua orang pengawal keselamatan terbabit merupakan saudara suspek manakala wanita tersebut pula dipercayai isteri suspek.

Dalam kenangan : Al-Fatihah.....
            Selepas berlakunya insiden menyayat hati ini, saya berpendapat pihak majikan bagi mana-mana syarikat perlu berwaspada dengan setiap pengambilan pekerjanya. Bukan sekadar tertumpu kepada pengawal keselamatan sahaja, malah kepada semua jenis jawatan. Kita tidak mahu terdapat pembunuh yang bersembunyi dalam kalangan kita. Syarat pengambilan pekerja harus diketatkan, terutamanya bagi jawatan pengawal keselamatan kerana melibatkan penggunaan senapang.




No comments:

Post a Comment