Pada 25 September yang lalu, iaitu pada hari Rabu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menganjurkan program Malam Festival Anugerah Merdeka anuran Pusat Kebudayaan UiTM. Festival tersebut telah berlangsung di Dewan Resital Panca Sakti, Pusat Kebudayaan UiTM pada pukul 8.30 malam dan majlis tersebut tamat lebih kurang pada pukul 11.30 malam. Saya telah bertindak sebagai pengacara majlis pada malam festival tersebut.
Festival ini adalah julung kalinya dianjurkan oleh Pusat kebudayaan dan unit Hal Ehwal Pelajar bersempena dengan sambutan Bulan Kemerdekaan yang telah kita raikan. Pada tahun ini negara kita telah meraikan 56 tahun kemerdekaan dengan tema “Malaysiaku Berdaulat:Tanah Tumpahnya Darahku”.
Hiasan gangsa letak di rumpun,
Ditempa aduka berteman kesuma,
Pewaris bangsa duduk berhimpun,
Sejarah merdeka hayati bersama.
Pada pendapat saya, ulang tahun kemerdekaan inilah yang perlu dikenang oleh kita, generasi pada hari ini untuk mengimbau kembali sejarah perjuangan perwira-perwira negara kita dalam mendapatkan kemerdekaan negara Malaysia tercinta ini. Rentetan dari itulah Pusat Kebudayaan mengambil inisiatif untuk menyumbang sedikit penghargaan dalam mengenang erti kemerdekaan dengan menganjurkan Festival Anugerah Merdeka 2013 dengan mengadakan dua pertandingan sekaligus iaitu pertandingan Sayembara Deklamasi Sajak Patriotik dan Nyanyian Lagu Patriotik. Pertandingan ini dapat membuka peluang kepada para pelajar untuk menggilap bakat mereka.
Penyertaan sangatlah menggalakkan oleh mahasiswa UiTM Shah Alam ini. Pada malam Selasa, 24 Oktober, telah berlangsung peringkat saringan bagi pertandingan Sayembara Deklamasi Sajak Patriotik oleh 40 orang peserta. Dalam peringkat saringan tersebut, hanya 10 orang sahaja yang akan dipilih bagi ke peringkat akhir pada malam festival itu.
Pemenang bagi pertandingan Sayembara Deklamasi Sajak Patriotik ialah Nur Sharina Cik Ibrahim dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media dengan sajaknya Ke Ruang Katarsis. Naib Johan pula disandang oleh Muhammad Hariri Nasir dari Fakulti Kejuruteraan Kimia.
Bagi pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik pula, Johan
dirangkul oleh Nurazliana Haslin Rusli dari Fakulti Sains Pentadbiran dan
Pengajian Polisi dengan lagunya Dirgahayu Tanah Airku. Tempat kedua dimenangi
oleh peserta siswi dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media dengan tajuk
lagu yang sama.
Semoga pertandingan seumpama ini mampu diteruskan
untuk masa yang akan datang bagi memberi kesedaran patriotik kepada para
mahasiswa di samping mencungkil bakat yang terpendam. Berikut adalah foto-foto yang diambil sepanjang malam tersebut.
No comments:
Post a Comment