Monday, 28 October 2013

Rumah Api di Penghujung Stesen Kereta Api



Apabila saya nyatakan tentang rumah api, masihkah anda semua tahu dan kenal akan rumah api tersebut? Rumah api ialah menara atau bangunan tinggi bagi membantu ahli pelayaran, juru mudi atau nakhoda kapal di laut untuk belayar dan mendarat dengan selamat. Menara ini dilengkapi dengan sistem lampu atau cahaya api. Biasanya rumah api dibina di kawasan tebing tinggi yang strategik bagi memudahkan kapal dagang datang berlabuh pada waktu malam hari. Rumah api juga boleh membantu menandakan kawasan berbahaya dan dalam pandu arah udara. Terdapat banyak rumah api di negara kita, tetapi apa yang ingin saya kongsikan bersama ialah tentang rumah api yang sangat istimewa ini. Kenapa istimewa?
Rumah api tersebut terletak di negeri Cik Siti Wan Kembang atau lebih spesifik lagi ialah di stesen kereta api Tumpat, yang merupakan hentian terakhir bagi kereta api. Stesen kereta api Tumpat pula terletak di kawasan Kampung Dalam Rhu yang bersebelahan dengan laut dan pangkalan nelayan. di sinilah rumah saya

Melalui sumber penduduk lama kampung ini, rumah api ini dibina pada zaman pemerintahan British lagi kerana pada zaman itu Tumpat merupakan sebuah pangkalan yang maju dan dikunjungi oleh ramai pedagang bijih timah, besi, emas dan rempah ratus. Rumah api berkenaan dibina bagi memudahkan laluan kapal-kapal pedagang pada waktu malam kerana dikhuatiri mereka akan terlanggar tebing atau pangkalan dan member isyarat kepada kapal-kapal bahawa mereka semakin hapir kea rah pangkalan. Pada waktu malam, api akan dinyalakan di atas puncak rumah api tersebut. Nyalaan api tersebut sangat terang dan dapat dilihat oleh pelayar dan kapal pedagang pada waktu malam. Selepas tamat pemerintahan British, rumah api tersebut masih dikekalkan sehingga kini sebagai mercu tanda sejarah masyarakat tempatan.



Rumah api di zaman penjajah yang masih teguh
         
Pada pendapat saya, lokasi terletaknya rumah api tersebut sangat cantik kerana berada di tengah-tengah antara laut, perkampungan dan stesen kereta api. Pengalaman saya sendiri, saya pernah memasuki rumah api tersebut dan naik tangganya yang tinggi untuk sampai ke puncak. Apabila tiba di puncak rumah api berkenaan, saya terpegun melihat keindahan pemandangan dari pandangan atas rumah api. Saya mampu melihat laut yang membiru dari hadapan dan juga Bandar Tumpat yang cantik dari belakang. Saya juga dapat melihat bot-bot nelayan, kapal-kapal besar dan perahu-perahu kecil yang berada di pesisiran pantai dan juga di tengah laut. Menurut masyarakat tempatan, pemandangan laut dapat dilihat lebih indah jika berada di puncak rumah api pada waktu malam.

Disebabkan keunikan rumah api tersebut, terdapat ramai pasangan pengantin yang mengadakan sesi fotografi di kawasan tersebut bagi mengabadikan kenangan terindah mereka. Sekiranya anda semua berpeluang untuk ke Tumpat dengan menaiki kereta api, jangan lepaskan peluang untuk melihat sendiri keunikan rumah api bersejarah tersebut. Anda juga akan kagum dengan keindahan semulajadi di kampung ini.

No comments:

Post a Comment