Esei ini ciptaan saya sendiri khas buat UiTM kerana mengangkat martabat Melayu dan Bumiputera... Bersinarkah Lagi Harapan?
Angin sepoi-sepoi bahasa membuatkan
daun nyiur meliuk-liuk. Sesekali terdengar kicauan burung yang bertenggek di
pohon ru. Farisya berjalan-jalan menyusuri pasir pantai yang memutih. Bayu yang
bertiup lembut mendamaikan rasa hati yang sayu sejak sekian lama. Suasana di
persekitaran amat menyenangkan, namun belum lagi bisa mententeramkan kalbunya.
Setelah penat berjalan, Farisya melabuhkan duduk di bawah pohon yang merendang.
Pandangan dilemparkan ke arah air laut yang tenang membiru dan kocak berombak.
Ya, di sinilah Pantai Seri Tujuh, Tumpat, kampung halamannya.
Satu tahun sebelumnya…
“Abah, tengok ni…Keputusan STPM
Risya dah keluar!,” jerit Farisya dari jauh sambil berlari-lari ke jeti
pengkalan ikan ayahnya.
Pak Daud yang sedang membaiki jala
di dalam bot nelayannya itu, terus meletakkan jalanya. Dia bingkas bangun
sebaik mendengar suara puteri sulungnya itu. Kelihatan puterinya itu sedang
berlari-lari ke arahnya. “Apa keputusan STPM Risya?,”tanyanya tidak sabar.
Farisya terus masuk ke dalam bot
ayahnya itu. Sambil tersenyum dia mengatakan, “Alhamdulillah abah, berkat usaha
Risya dan juga doa abah, akhirnya Risya dapat keputusan yang baik. Mungkin
Risya tak dapat keputusan cemerlang 4A tapi Risya masih lagi dapat 4Prinsipal
dengan gred 2A 2B. CGPA Risya pula 3.6.”
Pak Daud tersenyum mendengar
keputusan STPM anaknya itu. Tanpa disedari, jiwa kentalnya itu telah
mengalirkan mutiara jernih. Dia terus tunduk dan menadah tangan tanda
kesyukuran pada yang Maha Esa. Dia akui, sebagai anak sulung dalam keluarga,
Farisya bukan sahaja boleh diharap dalam menguruskan hal rumahtangga, malah
anak kesayangannya itu juga sangat bijak dalam pelajaran. Walaupun sudah lapan
tahun isterinya pergi menghadap seruan Ilahi, dia mampu membesarkan
anak-anaknya dengan baik.
“Abah, lepas ni Risya nak buat
permohonan untuk belajar di universiti,” Farisya meluahkan hasrat hatinya.
“Anak abah nak sambung belajar kat
mana? Nak belajar apa?, tanya Pak Daud mencungkil keinginan anak gadisnya itu.
“Risya rasa nak sambung belajar di
Universiti Malaya, nak belajar di Akademi Pengajian Melayu. Abah kan tahu Risya
sangat minat dalam kesusasteraan Melayu. Lagipun Risya dah lihat di sana ada
program yang sesuai dengan Risya. Abah bagi izin tak jika Risya nak belajar di
sana?,”soal Farisya dengan penuh harapan.
Pak Daud terdiam seketika. Ada satu
perkara yang dia sangat khuatir. Dia runsing sekiranya dia tidak mampu untuk menampung
yuran pengajian dan perbelanjaan Farisya di sana. Memandangkan dia seorang
pelaut, duit tangkapan ikan hanya cukup untuk perbelanjaan seharian sahaja. Ya,
dia ada wang simpanan sendiri. Wang simpanan itu disimpan untuk kegunaan
kecemasan dan pembelajaran anak-anaknya. Dia tahu, jika wang itu digunakan,
mungkin hanya mampu untuk menampung kehidupan Farisya hanya untuk satu semester
sahaja.
“Abah tak kisah Risya nak belajar
kat mana-manapun. Asalkan dapat mengejar cita-cita Risya tu,”ujar Pak Daud bagi
menyedapkan hati Farisya. Dia tidak mahu melihat anak kesayangannya itu hampa
dan kecewa. Dia juga sedar, hanya dengan ilmu, taraf kehidupan keluarganya
mampu berubah.
Keesokan harinya, Farisya terus ke kafe siber berhampiran
rumahnya. Dia mengisi permohonan masuk ke universiti secara ‘online’. Dia
memilih Universiti Malaya memandangkan itu merupakan impiannya untuk belajar
dalam pengajian Melayu. Dia sangat teruja dan sudah mengangankan suasana
bergelar sebagai mahasiswi.
Farisya yang sedang bercuti selepas
tamat Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) melakukan kerja sambilan di kilang
keropok yang berhampiran Pantai Sri Tujuh. Dengan bekerja, dapatlah juga untuk
mengurangkan beban ayahnya walaupun pendapatan harian sekitar RM 15 hingga RM
20 sahaja.
Suatu hari, sedang Farisya bekerja,
dia didatangi oleh seorang jirannya iaitu Pak Rifin. “Farisya, kamu kena balik ke
rumah sekarang. Ayah kamu ditimpa kecelakaan semasa di laut tadi. Keadaannya
sangat teruk.”
Farisya yang sedang menggentel
keropok lekor terkejut mendengar
kata-kata Pak Rifin itu. Lalu dia meminta izin daripada majikannya untuk
pulang awal ke rumah. Sepanjang perjalanan, hatinya sangat tidak tenteram
memikirkan kondisi ayahnya. Dia tidak putus-putus berdoa agar Allah sentiasa
melindungi diri ayah kesayangannya itu.
Setibanya di rumah, Farisya terus
berlari ke tempat pembaringan ayahnya. Kelihatan tubuh ayahnya sangat lesu. Dia
terus memeluk ayahnya. “Apa yang terjadi kepada abah?”
Pak Rifin yang berada di situ sayu
melihat keadaan dua beranak itu. “Abahmu tadi hampir lemas di laut. Pukatnya
terlekat di kipas enjin. Lalu abahmu terjun ke laut untuk mencabut pukat itu.
Malangnya, kaki abahmu tersangkut di pukat dan tidak dapat berenang. Mujurlah
Pak Rifin perasan situasi abahmu itu. Sempat kami semua selamatkannya. Kaki abahmu
pula terkena kipas enjin dan luka teruk juga,” jelas Pak Rifin.
“Sebab itulah kami terus angkat
abahmu naik ke darat dan bawanya ke sini,”sambung Pak Madi yang merupakan kawan
ayahnya.
Farisya tidak dapat menahan sebak
melihat keuzuran yang dialami oleh ayahnya itu. Detik itulah yang merubah
segala-galanya. Niatnya, azamnya dan impiannya terpaksa dimungkiri biarpun tidak
rela. Demi keluarga, biarlah dia pula yang bertanggungjawab.
“Usiaku sudah 20 tahun. Aku sudah
besar dan matang. Demi keluarga, aku sanggup berkorban. Aku masih ada dua orang
adik yang bersekolah. Aku harus bekerja demi membiayai persekolahan mereka. Aku
juga perlu jaga abah. Kalau aku pergi universiti, siapa yang akan jaga abah
nanti?,”desis hati kecil Farisya.
Mulai saat itu, Farisya bekerja.
Pada setiap hari Ahad hingga Khamis, dia akan bekerja di kilang keropok
manakala pada hari Jumaat dan Sabtu pula dia mengajar tuisyen bagi subjek
Bahasa Melayu untuk dua orang anak jirannya yang masih bersekolah rendah. Hanya
itu yang termampu dia lakukan. Hasilnya tidaklah sia-sia kerana dia mampu
membayar yuran persekolahan Farish, adiknya yang belajar dalam darjah lima dan
juga mampu menanggung yuran Farina yang menuntut dalam tingkatan tiga.
Pak Daud pula sudah dihantar ke
Hospital Besar Tumpat untuk mendapatkan rawatan dan ubat. Memandangkan itu
adalah hospital kerajaan, jadi perbelanjaannya tidaklah begitu mahal. Jika
diikutkan hati, mahu sahaja Farisya menghantar ayahnya itu ke klinik swasta dan
berjumpa doktor pakar agar ayahnya cepat dirawat dan pulih.
Suatu malam, setelah membantu
adik-adiknya menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru, dia berpesan
kepada adik-adiknya agar mengemaskan perkakasan sekolah dan tidur awal.
Kemudian, Farisya menyeterika seragam sekolah adik-adiknya. Dari jauh, Pak Daud
melihat kegigihan anak sulungnya itu.
“Risya, kalau dah siap semuanya,
datang sini kejap,”panggil Pak Daud dengan nada yang perlahan.
“Baik abah,”respon Farisya.
“Risya tak berniat ke untuk sambung
pengajian di peringkat universiti? Risya tak ingin belajar Kesusasteraan
Melayu? Itukan cita-cita Risya. Abah dah makin pulih ni, dah mampu berjalan
sikit-sikit. Lama-kelamaan abah akan kembali sembuh seperti sediakala. Risya
tak perlu bekerja dan jaga abah lagi,” luah Pak Daud.
“Tak apalah abah. Lagipun, Risya
dah tiada harapan untuk belajar di Universiti Malaya. Kemasukannya pada bulan
September lepas, sedangkan ini sudah hujung bulan Oktober. Lebih baik jika
Risya bekerja. Dapatlah ringankan beban abah, dapat bantu adik-adik. Lagipun
Farina dah tingkatan tiga. Risya yakin nanti dia akan berjaya masuk
universiti,”terang Farisya.
“Farina lambat lagi…..sekarang ni
abah nak tengok anak sulung abah, Ain Farisya yang masuk universiti dulu. Biar
Risya berjaya. Barulah adik-adik bersemangat untuk belajar,”jelas Pak Daud
dengan penuh harapan.
Farisya terharu mendengar luahan hati ayahnya. Tanpa diduga,
ayahnya masih mementingkan soal pendidikan meskipun mereka tidak berkemampuan.
Dengan senyuman dia membalas, “InsyaAllah abah, jika ada rezeki, Risya pasti
akan masuk ke universiti juga nanti. Abah doakanlah ye.”
“Ain Farisya! Ain Farisya!,” suara
seseorang yang menyeru namanya terus menerbangkan lamunannya tentang kejadian
setahun yang lepas. Cepat-cepat dia menyeka air mata di pipi agar tiada sesiapa
yang perasan. Kini, dia sudah berusia 21 tahun dan dia masih lagi bekerja di
tempat yang sama demi kepentingan keluarganya.
“Ada apa Linda?”soal Farisya kepada
gadis di depannya itu yang juga merupakan anak kepada Pak Rifin, jirannya.
“Abah kau suruh aku panggil kau
balik ke rumah. Ada orang datang cari kau. Katanya ada hal penting,”terang
Linda dengan nada tercungap-cungap.
Terus Farisya berlari pulang ke
rumahnya. Setibanya di rumah, dia melihat wakil jawatankuasa kampungnya bersama
dengan dua orang pegawai lelaki yang segak berpakaian kemeja dan bertali leher.
Seingatnya, mereka tidak pernah datang ke rumahnya sebelum ini. Dia melihat
ayahnya tersenyum sahaja.
“Ain Farisya Binti Mat Daud,
lepasan STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat dan mendapat gred 2A 2B.
CGPA kamu pula 3.6 dan berminat dalam bidang pengajian Melayu, betulkan?,”soal
salah seorang pegawai itu.
Farisya yang kaget hanya
mengangguk-angguk tanda benar apa yang diucapkan oleh pegawai tadi. “Encik ini
siapa dan apa tujuannya encik tanya saya semua itu?,”soal Farisya dengan nada
ingin tahu.
Dengan senyuman, seorang lagi
pegawai menjawab pertanyaan Farisya, “Kami ialah pihak dari Universiti
Teknologi MARA (UiTM). Kami ingin tawarkan permohonan kepada kamu agar kamu
mendapat peluang untuk belajar di universiti. Kami ingin tawarkan kamu ke
Akademi Pengajian Bahasa di UiTM Shah Alam. Di situ, kamu boleh mempelajari
bahasa Melayu.”
“Betulkah ini? Tapi…bagaimana encik
semua tahu tentang saya sedangkan saya tidak pernah memohon untuk ke UiTM
sebelum ini?,”Farisya seakan-akan tidak percaya dengan apa yang didengarnya
itu.
Ahli jawatankuasa kampungnya pula
menjawab,”Sebenarnya Risya, abah kamu ni ada jumpa pak cik, dia bertanyakan
jika kamu masih ada peluang untuk belajar di universiti. Pak cik tahu kamu
seorang yang bijak, sebab itu pak cik nak tolong kamu. Lagipun pihak UiTM
sendiri ada membuat program Jelajah Destini Anak bangsa di setiap negeri, jadi
pak cik rasa program ini sesuai untuk kamu.”
“Jelajah Destini Anak Bangsa? Apa
itu?,”tanya Farisya inginkan kepastian.
Lalu seorang daripada pegawai itu
terus menjawab, “Jelajah Destini Anak Bangsa ini merupakan program anjuran
pihak UiTM agar dapat menjelajah ke setiap negeri bagi mencari anak-anak Melayu
dan Bumiputera yang tidak mampu untuk ke universiti kerana menghadapi masalah
kewangan terutamanya. Jadi, setelah mendapat maklumat daripada jawatankuasa
kampung ini, kami terus ke sini bagi menemui Farisya.”
Ayahnya yang diam dari tadi pula
terus bersuara. “Risya jangan bimbang. Ayah dah sembuh dan boleh berjalan.
Perbelanjaan untuk adik-adik masih cukup. Lagipun perbelanjaan di UiTM tidaklah
mahal. Pihak mereka sanggup beri biasiswa kepada Risya. Risya pergilah, itu
harapan ayah.”
Perasaan terharu, sebak, gembira
dan syukur semuanya bercampur baur. Tidak sangka, ibarat bulan jatuh ke riba,
akhirnya Farisya mendapat tuah untuk belajar di UiTM di bawah program Destini Anak
Bangsa.
“Terima kasih UiTM! Terima kasih
Destini Anak Bangsa!... UiTM di Hatiku selamanya,”hatinya panjatkan kesyukuran.
Rupanya masih ada sinar harapan untuk anak nelayan sepertinya belajar di
universiti.
 |
Terima kasih UiTM kerana mewujudkan program Destini Anak Bangsa |