Monday, 28 October 2013

Kemeriahan Pesta Loy Krathong di Kelantan

Mungkin ramai yang pernah mendengar perkataan “Loy Krathong”, tambahan pula terdapat lirik lagu tentangnya. Namun, tidak ramai yang tahu dan faham makna sebenar “Loy Krathong”. Loy Krathong adalah salah satu pesta keramaian yang sangat popular dalam kalangan masyarakat berketurunan Siam atau Thai di seluruh dunia.

Pesta Loy Krathong ini biasanya disambut setahun sekali iaitu pada hari ke-15 dalam bulan 12 mengikut kalendar Lunar Thai, iaitu di antara bulan November. Tarikh tersebut dipilih kerana dikatakan akan berakhirnya musim hujan dan paras air sungai yang masih tinggi.

Perkataan Loy dalam bahasa Thai membawa maksud hanyut, manakala Krathong pula membawa makna bentuk bunga teratai. Dikatakan pada suatu ketika dahulu masyarakat Brahmin mengadakan upacara menghanyutkan bunga teratai sebagai tanda penghargaan kepada Dewi Air pada malam bulan purnama.

Anda semua bolehlah melihat kemeriahan sambutan pesta ini berdasarkan gambar-gambar di bawah. Saya sendiri merakam detik berharga ini. Sambutan Pesta Loy Krathong ini berlangsung di Taman Mahkota, Tumpat, Kelantan dan mendapat liputan luas oleh media.















Penangan Cinta di Laman Maya

Saya tertarik dengan beberapa laporan akhbar di negara kita dalam tahun ini yang berkaitan cinta di laman sesawang. Rata-rata akhbar melaporkan tentang isu cinta muka buku, perkenalan di laman maya, terpedaya dengan sindiket penipuan internet dan sebagainya yang berkaitan.

Masalah ini bukannya masalah baru kerana perkara seumpama ini sudah terjadi sejak tiga hingga lima tahun kebelakangan ini. Oleh itu, saya terfikir, mengapa masih wujud golongan naif yang boleh terpedaya dengan cinta di laman sosial ini. Pada pendapat saya, sudah banyak kali kes ini berlaku. Seharusnya masyarakat mengambil iktibar terhadap kejadian tersebut, sebaliknya, mereka masih boleh ditipu.  Saya berpendapat, mungkin banyak kes berkaitan penipuan melalui Internet dilaporkan media massa namun masih ada lagi individu yang menjadi mangsa sindiket itu gara-gara cinta. Cinta? Hanya sekadar membaca puitisnya tulisan di laman maya, adakah itu boleh ditafsirkan sebagai cinta sejati?

Pada 14 Mei 2013, pihak polis telah menahan Sembilan lelaki warga Nigeria yang berusia antara 20 hingga 30 tahun yang dipercayai pelajar dan terlibat dalam sindiket ‘African Scam’ yang beroperasi di Ampang dan Puchong.

Berikut merupakan gambar yang berkaitan dengan penipuan di internet yang dilakukan oleh warga Nigeria dan Afrika.







Tertarik dengan kisah penipuan sindiket internet ini, saya ingin mengupas tentang isu berkenaan seorang warga intelektual, iaitu guru wanita yang berusia 45 tahun. Guru tersebut kerugian sebanyak RM 14,200. Menurut laporan, guru tersebut telah berkenalan dengan seorang lelaki yang tinggal di Scotland melalui laman sosialnya, yang dikenali sebagai Halim dan bekerja sebagai jurutera. Menurut mangsa, selepas sebulan berkenalan, dia diminta mengirimkan sejumlah wang bagi membolehkan lelaki berkenaan menghantar barang kepada mangsa sebagai hadiah. Guru tersebut kemudiannya membuat laporan polis kerana merasakan dirinya tertipu apabila barang pos  yang dijanjikan tidak diterima.

Mangsa penipuan di internet ini bukan sahaja golongan intelektual, malah golongan remaja juga turut menjadi mangsa. Bayangkan, seorang remaja berusia 15 tahun yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) lari dari rumah gara-gara terpedaya dengan teman lelaki yang baru dikenalinya di laman maya.


Ibu bapa kepada mangsa yang melarikan diri dari rumah gara-gara mengikut lelaki yang baru dikenalinya di 'facebook' tampil membuat laporan
Masalah cinta di laman sosial ini sangat membimbangkan. Mangsa akan dipengaruhi dengan ayat-ayat manis daripada sang lelaki yang tidak dikenali. Mereka akan mempercayainya dan sanggup melakukan apa sahaja perkara yang diminta, contohnya menyerahkan wang dan melarikan diri dari rumah bersama lelaki yang baru dikenalinya. Bukan sahaja harta yang diragut, malah maruah mungkin akan tergadai. Bayangkanlah perasaan ahli keluarga, terutamanya ibu bapa apabila anak gadis mereka sanggup lari dari rumah semata-mata kerana cinta palsu yang baru diperoleh.


Oleh itu, saya berpesan kepada semua agar berhati-hati dengan setiap orang yang anda baru kenali. Tidak salah untuk menggunakan laman sosial, namun anda harus bijak dan sentiasa berwaspada. Jangan terlalu mudah berlembut hati dan terpedaya dengan kata-kata manis insan yang tidak anda kenali secara zahirnya. Bak kata pepatah, buat baik berpada-pada. Jangan jadi terlalu baik sehingga tergadai harta benda, maruah keluarga dan harga diri.

Saturday, 26 October 2013

Esei Penghargaan Buat UiTM: Bersinarkah Lagi Harapan?



Esei ini ciptaan saya sendiri khas buat UiTM kerana mengangkat martabat Melayu dan Bumiputera... Bersinarkah Lagi Harapan?


Angin sepoi-sepoi bahasa membuatkan daun nyiur meliuk-liuk. Sesekali terdengar kicauan burung yang bertenggek di pohon ru. Farisya berjalan-jalan menyusuri pasir pantai yang memutih. Bayu yang bertiup lembut mendamaikan rasa hati yang sayu sejak sekian lama. Suasana di persekitaran amat menyenangkan, namun belum lagi bisa mententeramkan kalbunya. Setelah penat berjalan, Farisya melabuhkan duduk di bawah pohon yang merendang. Pandangan dilemparkan ke arah air laut yang tenang membiru dan kocak berombak. Ya, di sinilah Pantai Seri Tujuh, Tumpat, kampung halamannya.
Satu tahun sebelumnya…
“Abah, tengok ni…Keputusan STPM Risya dah keluar!,” jerit Farisya dari jauh sambil berlari-lari ke jeti pengkalan ikan ayahnya.
Pak Daud yang sedang membaiki jala di dalam bot nelayannya itu, terus meletakkan jalanya. Dia bingkas bangun sebaik mendengar suara puteri sulungnya itu. Kelihatan puterinya itu sedang berlari-lari ke arahnya. “Apa keputusan STPM Risya?,”tanyanya tidak sabar.
Farisya terus masuk ke dalam bot ayahnya itu. Sambil tersenyum dia mengatakan, “Alhamdulillah abah, berkat usaha Risya dan juga doa abah, akhirnya Risya dapat keputusan yang baik. Mungkin Risya tak dapat keputusan cemerlang 4A tapi Risya masih lagi dapat 4Prinsipal dengan gred 2A 2B. CGPA Risya pula 3.6.”
Pak Daud tersenyum mendengar keputusan STPM anaknya itu. Tanpa disedari, jiwa kentalnya itu telah mengalirkan mutiara jernih. Dia terus tunduk dan menadah tangan tanda kesyukuran pada yang Maha Esa. Dia akui, sebagai anak sulung dalam keluarga, Farisya bukan sahaja boleh diharap dalam menguruskan hal rumahtangga, malah anak kesayangannya itu juga sangat bijak dalam pelajaran. Walaupun sudah lapan tahun isterinya pergi menghadap seruan Ilahi, dia mampu membesarkan anak-anaknya dengan baik.
“Abah, lepas ni Risya nak buat permohonan untuk belajar di universiti,” Farisya meluahkan hasrat hatinya.
“Anak abah nak sambung belajar kat mana? Nak belajar apa?, tanya Pak Daud mencungkil keinginan anak gadisnya itu. 
“Risya rasa nak sambung belajar di Universiti Malaya, nak belajar di Akademi Pengajian Melayu. Abah kan tahu Risya sangat minat dalam kesusasteraan Melayu. Lagipun Risya dah lihat di sana ada program yang sesuai dengan Risya. Abah bagi izin tak jika Risya nak belajar di sana?,”soal Farisya dengan penuh harapan.
Pak Daud terdiam seketika. Ada satu perkara yang dia sangat khuatir. Dia runsing sekiranya dia tidak mampu untuk menampung yuran pengajian dan perbelanjaan Farisya di sana. Memandangkan dia seorang pelaut, duit tangkapan ikan hanya cukup untuk perbelanjaan seharian sahaja. Ya, dia ada wang simpanan sendiri. Wang simpanan itu disimpan untuk kegunaan kecemasan dan pembelajaran anak-anaknya. Dia tahu, jika wang itu digunakan, mungkin hanya mampu untuk menampung kehidupan Farisya hanya untuk satu semester sahaja.
“Abah tak kisah Risya nak belajar kat mana-manapun. Asalkan dapat mengejar cita-cita Risya tu,”ujar Pak Daud bagi menyedapkan hati Farisya. Dia tidak mahu melihat anak kesayangannya itu hampa dan kecewa. Dia juga sedar, hanya dengan ilmu, taraf kehidupan keluarganya mampu berubah.
 Keesokan harinya, Farisya terus ke kafe siber berhampiran rumahnya. Dia mengisi permohonan masuk ke universiti secara ‘online’. Dia memilih Universiti Malaya memandangkan itu merupakan impiannya untuk belajar dalam pengajian Melayu. Dia sangat teruja dan sudah mengangankan suasana bergelar sebagai mahasiswi.
Farisya yang sedang bercuti selepas tamat Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) melakukan kerja sambilan di kilang keropok yang berhampiran Pantai Sri Tujuh. Dengan bekerja, dapatlah juga untuk mengurangkan beban ayahnya walaupun pendapatan harian sekitar RM 15 hingga RM 20 sahaja.
Suatu hari, sedang Farisya bekerja, dia didatangi oleh seorang jirannya iaitu Pak Rifin. “Farisya, kamu kena balik ke rumah sekarang. Ayah kamu ditimpa kecelakaan semasa di laut tadi. Keadaannya sangat teruk.”
Farisya yang sedang menggentel keropok lekor terkejut mendengar  kata-kata Pak Rifin itu. Lalu dia meminta izin daripada majikannya untuk pulang awal ke rumah. Sepanjang perjalanan, hatinya sangat tidak tenteram memikirkan kondisi ayahnya. Dia tidak putus-putus berdoa agar Allah sentiasa melindungi diri ayah kesayangannya itu.
Setibanya di rumah, Farisya terus berlari ke tempat pembaringan ayahnya. Kelihatan tubuh ayahnya sangat lesu. Dia terus memeluk ayahnya. “Apa yang terjadi kepada abah?”
Pak Rifin yang berada di situ sayu melihat keadaan dua beranak itu. “Abahmu tadi hampir lemas di laut. Pukatnya terlekat di kipas enjin. Lalu abahmu terjun ke laut untuk mencabut pukat itu. Malangnya, kaki abahmu tersangkut di pukat dan tidak dapat berenang. Mujurlah Pak Rifin perasan situasi abahmu itu. Sempat kami semua selamatkannya. Kaki abahmu pula terkena kipas enjin dan luka teruk juga,” jelas Pak Rifin.
“Sebab itulah kami terus angkat abahmu naik ke darat dan bawanya ke sini,”sambung Pak Madi yang merupakan kawan ayahnya.
Farisya tidak dapat menahan sebak melihat keuzuran yang dialami oleh ayahnya itu. Detik itulah yang merubah segala-galanya. Niatnya, azamnya dan impiannya terpaksa dimungkiri biarpun tidak rela. Demi keluarga, biarlah dia pula yang bertanggungjawab.
“Usiaku sudah 20 tahun. Aku sudah besar dan matang. Demi keluarga, aku sanggup berkorban. Aku masih ada dua orang adik yang bersekolah. Aku harus bekerja demi membiayai persekolahan mereka. Aku juga perlu jaga abah. Kalau aku pergi universiti, siapa yang akan jaga abah nanti?,”desis hati kecil Farisya.
Mulai saat itu, Farisya bekerja. Pada setiap hari Ahad hingga Khamis, dia akan bekerja di kilang keropok manakala pada hari Jumaat dan Sabtu pula dia mengajar tuisyen bagi subjek Bahasa Melayu untuk dua orang anak jirannya yang masih bersekolah rendah. Hanya itu yang termampu dia lakukan. Hasilnya tidaklah sia-sia kerana dia mampu membayar yuran persekolahan Farish, adiknya yang belajar dalam darjah lima dan juga mampu menanggung yuran Farina yang menuntut dalam tingkatan tiga.
Pak Daud pula sudah dihantar ke Hospital Besar Tumpat untuk mendapatkan rawatan dan ubat. Memandangkan itu adalah hospital kerajaan, jadi perbelanjaannya tidaklah begitu mahal. Jika diikutkan hati, mahu sahaja Farisya menghantar ayahnya itu ke klinik swasta dan berjumpa doktor pakar agar ayahnya cepat dirawat dan pulih.
Suatu malam, setelah membantu adik-adiknya menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru, dia berpesan kepada adik-adiknya agar mengemaskan perkakasan sekolah dan tidur awal. Kemudian, Farisya menyeterika seragam sekolah adik-adiknya. Dari jauh, Pak Daud melihat kegigihan anak sulungnya itu.
“Risya, kalau dah siap semuanya, datang sini kejap,”panggil Pak Daud dengan nada yang perlahan.
“Baik abah,”respon Farisya.
“Risya tak berniat ke untuk sambung pengajian di peringkat universiti? Risya tak ingin belajar Kesusasteraan Melayu? Itukan cita-cita Risya. Abah dah makin pulih ni, dah mampu berjalan sikit-sikit. Lama-kelamaan abah akan kembali sembuh seperti sediakala. Risya tak perlu bekerja dan jaga abah lagi,” luah Pak Daud.
“Tak apalah abah. Lagipun, Risya dah tiada harapan untuk belajar di Universiti Malaya. Kemasukannya pada bulan September lepas, sedangkan ini sudah hujung bulan Oktober. Lebih baik jika Risya bekerja. Dapatlah ringankan beban abah, dapat bantu adik-adik. Lagipun Farina dah tingkatan tiga. Risya yakin nanti dia akan berjaya masuk universiti,”terang Farisya.
“Farina lambat lagi…..sekarang ni abah nak tengok anak sulung abah, Ain Farisya yang masuk universiti dulu. Biar Risya berjaya. Barulah adik-adik bersemangat untuk belajar,”jelas Pak Daud dengan penuh harapan.
Farisya terharu  mendengar luahan hati ayahnya. Tanpa diduga, ayahnya masih mementingkan soal pendidikan meskipun mereka tidak berkemampuan. Dengan senyuman dia membalas, “InsyaAllah abah, jika ada rezeki, Risya pasti akan masuk ke universiti juga nanti. Abah doakanlah ye.”
“Ain Farisya! Ain Farisya!,” suara seseorang yang menyeru namanya terus menerbangkan lamunannya tentang kejadian setahun yang lepas. Cepat-cepat dia menyeka air mata di pipi agar tiada sesiapa yang perasan. Kini, dia sudah berusia 21 tahun dan dia masih lagi bekerja di tempat yang sama demi kepentingan keluarganya.
“Ada apa Linda?”soal Farisya kepada gadis di depannya itu yang juga merupakan anak kepada Pak Rifin, jirannya.
“Abah kau suruh aku panggil kau balik ke rumah. Ada orang datang cari kau. Katanya ada hal penting,”terang Linda dengan nada tercungap-cungap.
Terus Farisya berlari pulang ke rumahnya. Setibanya di rumah, dia melihat wakil jawatankuasa kampungnya bersama dengan dua orang pegawai lelaki yang segak berpakaian kemeja dan bertali leher. Seingatnya, mereka tidak pernah datang ke rumahnya sebelum ini. Dia melihat ayahnya tersenyum sahaja.
“Ain Farisya Binti Mat Daud, lepasan STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat dan mendapat gred 2A 2B. CGPA kamu pula 3.6 dan berminat dalam bidang pengajian Melayu, betulkan?,”soal salah seorang pegawai itu.
Farisya yang kaget hanya mengangguk-angguk tanda benar apa yang diucapkan oleh pegawai tadi. “Encik ini siapa dan apa tujuannya encik tanya saya semua itu?,”soal Farisya dengan nada ingin tahu.
Dengan senyuman, seorang lagi pegawai menjawab pertanyaan Farisya, “Kami ialah pihak dari Universiti Teknologi MARA (UiTM). Kami ingin tawarkan permohonan kepada kamu agar kamu mendapat peluang untuk belajar di universiti. Kami ingin tawarkan kamu ke Akademi Pengajian Bahasa di UiTM Shah Alam. Di situ, kamu boleh mempelajari bahasa Melayu.”
“Betulkah ini? Tapi…bagaimana encik semua tahu tentang saya sedangkan saya tidak pernah memohon untuk ke UiTM sebelum ini?,”Farisya seakan-akan tidak percaya dengan apa yang didengarnya itu.
Ahli jawatankuasa kampungnya pula menjawab,”Sebenarnya Risya, abah kamu ni ada jumpa pak cik, dia bertanyakan jika kamu masih ada peluang untuk belajar di universiti. Pak cik tahu kamu seorang yang bijak, sebab itu pak cik nak tolong kamu. Lagipun pihak UiTM sendiri ada membuat program Jelajah Destini Anak bangsa di setiap negeri, jadi pak cik rasa program ini sesuai untuk kamu.”
“Jelajah Destini Anak Bangsa? Apa itu?,”tanya Farisya inginkan kepastian. 
Lalu seorang daripada pegawai itu terus menjawab, “Jelajah Destini Anak Bangsa ini merupakan program anjuran pihak UiTM agar dapat menjelajah ke setiap negeri bagi mencari anak-anak Melayu dan Bumiputera yang tidak mampu untuk ke universiti kerana menghadapi masalah kewangan terutamanya. Jadi, setelah mendapat maklumat daripada jawatankuasa kampung ini, kami terus ke sini bagi menemui Farisya.”
Ayahnya yang diam dari tadi pula terus bersuara. “Risya jangan bimbang. Ayah dah sembuh dan boleh berjalan. Perbelanjaan untuk adik-adik masih cukup. Lagipun perbelanjaan di UiTM tidaklah mahal. Pihak mereka sanggup beri biasiswa kepada Risya. Risya pergilah, itu harapan ayah.”
Perasaan terharu, sebak, gembira dan syukur semuanya bercampur baur. Tidak sangka, ibarat bulan jatuh ke riba, akhirnya Farisya mendapat tuah untuk belajar di UiTM di bawah program Destini Anak Bangsa.
“Terima kasih UiTM! Terima kasih Destini Anak Bangsa!... UiTM di Hatiku selamanya,”hatinya panjatkan kesyukuran. Rupanya masih ada sinar harapan untuk anak nelayan sepertinya belajar di universiti.

Terima kasih UiTM kerana mewujudkan program Destini Anak Bangsa


Friday, 25 October 2013

Mutiara Kata Dariku

Salam mutiara kata.....

Setiap orang pasti mempunyai pandangan dan persepsi masing-masing terhadap sesuatu isu...

Di sini saya sekadar ingin berkongsi ilmu dan meluahkan pandangan saya terhadap isu yang dibangkitkan..
Semoga kita sama-sama mampu berfikiran terbuka dan menilai baik buruk sesuatu perkara...
Berfikirlah dengan akal dan gunakanlah ilmu pengetahuan yang ada..
Apa yang baik datangya dari Allah s.w.t, dan apa yang buruk datangnya dari diri saya sendiri..
Wassalam....



Monday, 21 October 2013

Fight after accident on the road - berbaloikah?



Saya telah menonton satu video dari sumber Youtube yang berdurasi  3 minit 12 saat. Video ini memaparkan tragedi pergaduhan yang berlaku antara dua orang lelaki daripada kaum Cina.
Saya sangat tertarik dengan video pendek tersebut kerana ia memaparkan peristiwa sebenar dan banyak pengajaran yang dapat diambil. 

            Dari keseluruhan video yang ditayangkan, beberapa kesimpulan mampu dibuat dari sudut ilmiah. Kesimpulan yang pertama ialah insiden ini telah menunjukkan perilaku kedua-dua lelaki tersebut adalah tidak matang dan dan bersikap kebudak-budakan. Hal ini adalah kerana permulaan bagi insiden ini berlaku disebabkan oleh seorang lelaki berbaju merah tanpa sengaja telah melanggar bonet kereta sorang lelaki berbaju putih itu. Lelaki berbaju putih yang menjadi mangsa pelanggaran bonet kereta itu terus menyerang lelaki yang melanggar bonet keretanya itu tanpa berfikir panjang. Tindakan sebegini adalah tidak wajar bagi seorang lelaki dewasa kerana hal ini telah menunjukkan mereka tidak berfikiran matang dan bertindak mengikut nafsu dan amarah semata-mata. Sepatutnya, lelaki berbaju putih itu perlu berfikir secara rasional dan bertenang. Insiden ini boleh diselesaikan tanpa perlu mengajak lelaki berbaju merah itu bergaduh.

Gambar menunjukkan terlah berlaku pelanggaran kereta secara tidak sengaja dari belakang



               Seterusnya, kejadian ini membina persepsi bahawa kedua-dua lelaki dalam video ini memiliki moral rendah dan ego. Apabila lelaki berbaju putih itu memulakan pergaduhan, lelaki berbaju merah tidak seharusnya menurut kehendaknya. Malah, lelaki berbaju merah itu perlu menggunakan pendekatan yang lebih baik dengan menenangkan lelaki itu. Dia perlu meminta maaf dan menggunakan kata-kata yang lebih sopan dan beradab. Masalah ini boleh diselesaikan dengan cara yang baik, contohnya lelaki berbaju merah itu perlu mengakui kesilapannya dan menyatakan hasratnya untuk menanggung bayaran membaiki kereta. Cara tersebut lebih matang dan tidak akan mengundang masalah yang lebih serius.

            Selain itu, pergaduhan teruk antara dua orang lelaki ini telah berlaku di tengah kesibukan trafik. Mereka saling memukul dan salah seorang daripada mereka menggunakan kayu besbol sebagai senjata sehingga mengundang kepada pendarahan yang teruk. Luka yang dialami oleh mereka adalah sia-sia kerana mereka bergaduh untuk perkara yang tiada faedahnya. Pengguna jalan raya yang menggunakan jalan tersebut akan melihat insiden yang berlaku ini. Hal ini secara tidak langsung mampu memberi tanggapan dan persepsi buruk orang awam terhadap mereka. Paling dirisaukan ialah apabila insiden tragis ini dilihat oleh warga asing di Malaysia, mereka akan membuat andaian sendiri bahawa rakyat Malaysia adalah tidak bertamadun dan mengamalkan budaya samseng. Kemajuan Negara kita tidak mampu untuk memajukan pemikiran rakyatnya.


Babak dramatik dan klimaks : pergaduhan di tengah kesesakan lalu lintas
 
Inilah akibatnya andai terlalu menurut amarah masing-masing...Luka dan pendarahan teruk yang sia-sia

            Video pergaduhan antara mereka telah dimuat naik ke dalam Youtube dan disebarkan secara meluas dalam rangkaian sosial internet. Media sosial sangat efektif bagi memaparkan sesuatu kejadian secara cepat dan meluas, namun akan menimbulkan impak negatif sekiranya kejadian yang memalukan Negara seperti ini ditayangkan dan ditonton umum oleh masyarakat dari seluruh dunia. Seharusnya, sesuatu bahan berita perlu ditapis terlebih dahulu sebelum dimuat naik ke dalam internet. Beberapa sekatan perlu dikenakan kepada mereka yang ingin memuat naik sesuatu bahan. Hal ini dapat menyekat bahan-bahan yang tidak bermoral dan berunsur negatif seperti ganas, samseng, lucah dan biadab agar tidak dilihat umum. Maruah Negara dan individu tersebut juga mampu dipelihara. Sebagai rujukan, saya sertakan link Youtube video tersebut agar anda semua boleh menontonnya sendiri. http://www.youtube.com/watch?v=b_dSOFmw1C4

              Sekian sahaja pandangan saya tentang isu video tersebut...
~Mutiara Kata Emiz~